BERITA TERGEMPAR   Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | 
 AM

RUU ILTIZAM LANDASAN BAHARU PERKASAKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN - JPA

26/03/2025 02:33 PM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Dewan Negara semalam, menjadi landasan dalam usaha pembaharuan struktur dan operasi sektor awam demi memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan RUU berkenaan menzahirkan pendekatan menyeluruh dan strategik merentasi sektor dan agensi bagi memperkukuh sistem pentadbiran dan kawal selia kerajaan.

Menurut JPA, RUU itu digubal bagi menangani birokrasi berlebihan, memansuhkan prosedur lapuk dan menyusun semula proses kawal selia yang telah membebankan rakyat serta komuniti perniagaan.

“RUU itu memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan pentadbiran, penyampaian perkhidmatan serta pengurangan kos urus niaga dan masa yang hilang akibat proses tidak produktif.

“Usaha ini akan menyaksikan pelaksanaan perkhidmatan lebih pantas, mesra pengguna, dan mudah diakses, serta memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi menjayakan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 6 Mac dan Dewan Negara pada 25 Mac. 

Menurut JPA, RUU berkenaan juga merupakan lambang perubahan budaya kerja dan nilai dalam sektor awam demi mencipta impak jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

“JPA bertindak sebagai peneraju utama dalam merangka, menyelaras dan merealisasikan pelaksanaan RUU itu, dengan sokongan erat daripada Kementerian Ekonomi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan agensi kerajaan yang lain,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan