AM

BOMBA MELAKA KELUAR 27 NOTIS MENERUSI PENGUATKUASAAN HAPUS BAHAYA KEBAKARAN

26/03/2025 08:45 PM

MELAKA, 26 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengeluarkan 27 notis melibatkan pelbagai kesalahan setakat bulan lepas menerusi 18 pemeriksaan penguatkuasaan Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) di pelbagai premis di negeri ini.

Pengarah JBPM Melaka Mohd Pisar Aziz berkata pada tahun lepas, sebanyak 360 notis kesalahan telah dikeluarkan kerana gagal mematuhi keperluan keselamatan kebakaran menerusi 434 pemeriksaan.

"Kita berharap pemilik premis serius memastikan bangunan mereka mematuhi semua keperluan keselamatan ditetapkan undang-undang dan piawaian keselamatan kebakaran kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama.

"Saya juga menyeru kepada pemilik premis yang menjadi tumpuan ramai supaya tidak mengabaikan ciri-ciri keselamatan selain menyelenggara sistem pencegahan kebakaran supaya dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri dan Op Siaga Musim Perayaan Aidilfitri 2025 peringkat negeri di sini hari ini. 

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkifli Mohd Zin. 

Mohd Pisar berkata pemilik premis juga hendaklah sentiasa memastikan laluan keselamatan tidak dihalang atau dikunci yang boleh mengakibatkan penghuni atau pengunjung terperangkap sekiranya berlaku kebakaran.

Dalam pada itu beliau berkata pelancaran program itu bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan kebakaran dan di jalan raya untuk mencegah berlakunya perkara tidak diingini terutama pada musim perayaan dan  sentiasa bersedia untuk bertindak apabila menghadapi situasi kecemasan.

Mohd Pisar berkata sempena operasi musim perayaan pada 21 Mac hingga 8 April, sebanyak 297 anggota dan pegawai bomba akan bertugas setiap hari selain melaksanakan sebanyak 22 rondaan kawasan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan