AM

PM ANWAR ‘PENJUAL TERBAIK’ PRODUK NEGARA DI PERINGKAT ANTARABANGSA - PENGERUSI FELDA

26/03/2025 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘penjual terbaik’ Malaysia bagi memasarkan produk negara di peringkat antarabangsa seterusnya mendapat permintaan tinggi. 

Beliau berkata kebolehan dan kewibawaan Anwar dalam memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara luar termasuk China, Turkiye dan India yang juga pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, dapat memastikan peningkatan sumber pendapatan negara.

“Pendapatan kita banyak bergantung pada harga selain ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran tetapi kami percaya bahawa antaranya ialah keyakinan orang kepada Malaysia.

“Saya katakan kepada para peneroka semua, tidak ada ‘penjual’ yang paling baik untuk melonjakkan harga dan nilai produk kita kalau bukan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Perdana Menteri,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di sini malam ini.

Majlis itu disertai kira-kira 1,300 jemputan termasuk 400 wakil peneroka generasi baharu dari Felda Trolak di Perak, Felda Mempaga dan Felda Jengka di Pahang selain warga Felda serta wakil anak syarikat.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan tertinggi Felda.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan