KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pengumuman kerajaan mengenai potongan tol 50 peratus selama dua hari bermula Jumaat ini di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, pastinya menceriakan orang ramai.
Pekerja swasta Mohd Hasriq Amiruddin, 40, menyifatkan berita baik itu sebagai inisiatif yang sangat membantu meringankan beban kewangan pada musim perayaan, lebih-lebih lagi selepas perbelanjaan besar bagi sesi kemasukan sekolah pada Februari lepas.
“Saya sangat bersyukur dengan potongan tol ini. Sekurang-kurangnya dapat juga berjimat dan menggunakan lebihan wang untuk keperluan lain seperti persiapan raya. Langkah kerajaan ini sedikit sebanyak mengurangkan kos perjalanan kami sekeluarga,” katanya kepada Bernama.
Mohd Hasriq berkata perjalanan pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah biasanya menelan belanja lebih RM80 untuk tol bagi perjalanan pergi dan balik, dan dengan potongan 50 peratus itu beliau dapat menggunakan lebihan wang untuk kegunaan keluarga.
Nada sama disuarakan pekerja swasta Siti Sarah Md Razi, 38.
“Saya memang akan balik kampung di Chemor, Perak setiap tahun dan tol adalah antara kos utama yang perlu diperuntukkan. Dengan diskaun ini, sekurang-kurangnya saya boleh gunakan bajet lebih untuk keperluan lain seperti duit raya untuk anak saudara,” katanya.
Sementara itu, guru tuisyen Ariff Ahmad Azam, 40, berkata inisiatif kerajaan itu amat dihargai kerana sedikit sebanyak membantu meringankan kos perjalanannya pulang ke Pasir Puteh, Kelantan.
“Walaupun bukan percuma, potongan 50 peratus ini sangat membantu, terutama untuk perjalanan pergi dan balik semasa musim perayaan,” katanya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini berkata kerajaan mengumumkan potongan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan RM19.69 juta.
-- BERNAMA