PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa 21 April depan secara berperingkat, bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemakaian lencana Jalur Gemilang itu, melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.
“Inisiatif ini bertepatan dengan fungsi institusi pendidikan untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa KPM akan membekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026.
KPM juga telah menyediakan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan bawah KPM, yang disertakan bersama-sama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 sebagai panduan tentang tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid.
-- BERNAMA