AM

MALAYSIA CATAT PENINGKATAN KETARA PENDARATAN TUNA NERITIK PADA 2024

27/03/2025 11:53 AM

PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Jumlah pendaratan ikan tuna neritik termasuk ikan aya atau tongkol di seluruh negara mencatatkan peningkatan ketara tahun lepas, iaitu dianggarkan sebanyak 63,780.32 tan metrik bernilai lebih RM781.3 juta.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Datuk Adnan Hussain dalam kenyataan hari ini berkata angka berkenaan menunjukkan pertumbuhan positif dalam sektor perikanan negara berbanding 2023 yang merekodkan pendaratan sebanyak 55,222.67 tan metrik.

Beliau berkata Perak muncul sebagai pengeluar utama tuna neritik pada tahun ini dengan pendaratan sebanyak 16,933.90 tan metrik bernilai kira-kira RM207.4 juta, diikuti Sabah dengan jumlah pendaratan sebanyak 12,479.22 tan metrik bernilai RM152.9 juta.

“Peningkatan pendaratan tuna neritik, termasuk ikan tongkol, ialah bukti usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kelangsungan industri perikanan negara dan kestabilan harga untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata ikan tuna neritik yang dimasukkan ke dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertujuan memastikan kestabilan harga dan ketersediaan bekalan ikan di pasaran, khususnya menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan.

Adnan berkata di bawah inisiatif itu, harga maksimum bagi ikan aya/tongkol bersaiz satu hingga dua ekor sekilogram (kg) telah ditetapkan di Pahang, Terengganu, dan Kelantan.

“Selain itu, beberapa hasil laut lain turut dikawal harganya di seluruh negara, antaranya ikan demudok/sagai/cermin/cupak (tiga-lima ekor/kg) di Sabah, ikan kembung termasuk ikan mabung (8-12 ekor/kg) di seluruh negara, serta ikan selayang (8-12 ekor/kg),” katanya.

Beliau berkata Jabatan Perikanan komited dalam memastikan kestabilan harga dan bekalan ikan di pasaran, khususnya semasa musim perayaan.

Adnan berkata pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memantau bekalan serta pendaratan ikan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara.

“Usaha pengawalan harga dan pemantauan pendaratan ini diharapkan dapat membantu menstabilkan harga ikan di pasaran serta menjamin bekalan yang mencukupi untuk pengguna,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan