KUALA NERUS, 27 Mac (Bernama) -- UMNO Terengganu akan menghantar jentera bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak lama lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Rozi Mamat berkata UMNO negeri telah diberikan amanah untuk membantu dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Kampung Raya dan Pekan Getah.
“Kita telah hantar setiausaha kerja bagi menghadiri mesyuarat di Perak untuk diselaraskan berkaitan gerak kerja yang akan dilaksanakan nanti. Jumlah jentera parti yang akan dihantar akan lihat kepada keperluan sebenar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Terengganu, di sini malam tadi.
Rozi berkata setiap PDM terlibat akan dibantu jentera daripada empat bahagian iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, serta Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan