KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) dijangka mengekalkan pertumbuhan pendapatan kukuh suku ke suku, didorong oleh pengembangan pinjaman berdaya tahan dan perbelanjaan operasi lebih rendah berikutan ketiadaan peruntukan bonus, kata Public Investment Bank Bhd (PIVB).
Bagaimanapun, PIVB melihat sedikit tekanan terhadap margin faedah bersih bank tersebut, berkemungkinan dipengaruhi oleh nisbah akaun semasa dan akaun simpanan yang lebih rendah.
“AmBank Group merancang untuk memperuntukkan semula modalnya untuk mengembangkan perbankan perniagaan dan segmen perusahaan kecil dan sederhana runcitnya, memberikan pulangan atas aset (ROA) yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak 1.57 peratus dan 3.2 peratus.
“Ini seiring dengan sasarannya untuk meningkatkan ROA kepada 1.1 peratus menjelang tahun kewangan 2029,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
PIVB menjangkakan pembayaran dividen yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2025 dengan AmBank Group berada di landasan betul untuk mencatatkan pertumbuhan pendapatan lebih kukuh.
"Kami percaya AmBank Group akan membuat pembayaran dividen melebihi 40 peratus pada tahun kewangan 2025 (tahun kewangan 2024: 40 peratus), disokong oleh pendapatan kukuh. Keuntungan bersih sembilan bulan tahun kewangan 2025 meningkat tujuh peratus tahun ke tahun, disokong oleh nisbah satu peringkat kukuh sebanyak 14.88 peratus.
"Pada separuh pertama 2025, bank itu menaikkan pembayaran dividennya kepada 10.3 sen, membayangkan pembayaran sebanyak 34 peratus, naik daripada 23 peratus sebelum ini," katanya.
Namun, PIVB berkata pengurusan tidak mempunyai rancangan untuk dividen khas, terbitan bonus atau tindakan korporat kerana ia bertujuan untuk menjimatkan modal dan mengekalkan penarafan kreditnya.
“Justeru, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap AmBank Group dengan harga sasaran RM5.70,” katanya.
-- BERNAMA