AM

SYAWAL TUJUH BERANAK SURAM SELEPAS PEMERGIAN INSAN TERSAYANG

27/03/2025 02:23 PM

BUKIT MERTAJAM, 27 Mac (Bernama) -- Syawal kali ini begitu suram buat Farizah Adani Ismail dan enam anaknya apabila suami yang menjadi tempat bergantung pergi menghadap Ilahi bulan lepas.

Farizah Adani, 35, berkata suaminya Mohd Noor Affan Ruslan meninggal dunia secara mengejut selepas tidak sedarkan diri di rumah di Flat Bandar Baru Perda di Teluk Kumbar, dekat Bayan Lepas.

Bedah siasat di Hospital Balik Pulau mengesahkan kematian pekerja di sebuah gudang kargo di Bayan Lepas itu pada 19 Feb, disebabkan pembuluh darah pecah.

“Arwah sudah lama menghidap penyakit darah tinggi tetapi tak sangka dia akan pergi secepat ini. Sebelum ini dia memang kerap mengadu sakit kepala tetapi dua, tiga hari sebelum pergi, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda sakit,” katanya.

Suri rumah itu berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Kasih Ceriakan Syawal 2025 anjuran Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dan Yayasan Al Nasmir, di sini semalam.

Farizah Adani berkata suaminya tidak membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri tahun ini dan sering mengelak serta menukar topik apabila anak bertanya perkara itu, berbeza daripada kebiasaan arwah yang sering berbuat demikian sebelum Ramadan.

Bagaimanapun, Farizah Adani reda dengan ketentuan Allah dan sedang menyesuaikan diri untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu serta bapa kepada enam anak berusia antara setahun tujuh bulan hingga 13 tahun.

“Ketiadaan arwah memang amat dirasai, kerana dia sangat rapat dengan anak dan banyak menguruskan mereka termasuk menghantar dan mengambil dari sekolah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara Mohd Iskandar Othman berkata program itu merupakan acara tahunan, bagi meraikan golongan memerlukan dan membawa keceriaan kepada mereka dalam menyambut kehadiran Syawal.

Beliau berkata mereka membantu keluarga itu membuat persiapan menyambut Aidilfitri, termasuk membeli pakaian baharu selain Pengarah Urusan Yayasan Al Nasmir Datuk Khadar Shah Abdul Razak melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), menyumbangkan perkakasan rumah dan barangan elektrik.

Yayasan itu juga membantu membayar sewa rumah serta bil api dan air selama setahun, selain turut menghulur sumbangan tunai RM1,000 sebagai persiapan raya untuk meringankan beban kewangan mereka.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan