BERITA TERGEMPAR | Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | |
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mencari calon yang akan menggalas tugas sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 yang akan berlangsung di tanah air pada 2027.
Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata pihaknya akan berbincang bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memilih individu yang akan memikul tanggungjawab tersebut sebelum menyenaraikan secara terperinci ahli Jawatankuasa Pengelola temasya dwitahunan itu.
"Selepas raya nanti kita akan ada perbincangan dengan JPA untuk lantik CEO dan CEO yang akan membuat keputusan pelantikan jawatankuasa lain.
"Kita tiada masa yang banyak sebelum menjadi tuan rumah, jadi siapa yang jadi CEO kelak perlu ‘berlari’ dengan pasukan untuk mulakan tugasan," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Taska Team MAS di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil, di sini hari ini.
Semalam, kerajaan meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 2027.
Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah Sukan SEA selepas kali terakhir pada 2017.
Sebagai rekod, edisi 2017 menyaksikan Malaysia menamatkan kempen sebagai juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah sebanyak enam kali iaitu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
Bagi edisi ke-33 yang akan berlangsung Disember ini, Thailand selaku penganjur memilih tiga lokasi sebagai venue pertandingan iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Terdahulu, Hannah merasmikan Taska Team MAS yang merupakan inisiatif memperkukuh sokongan kebajikan kepada atlet, jurulatih dan warga agensi sukan di KL Sports City.
Hannah berkata Taska Team MAS bukan sekadar pusat penjagaan kanak-kanak tetapi simbol komitmen KBS dalam membantu golongan atlet dan kakitangan sukan menyeimbangkan tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
"Taska ini beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam. Kenapa 7 pagi kerana ramai atlet kita berlatih awal pagi, jadi kalau bergantung pada taska di luar, mungkin belum buka 7 pagi,” katanya.
-- BERNAMA