BERITA TERGEMPAR   Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | 
 DUNIA

BURSA MALAYSIA KEKALKAN ALIRAN MENINGKAT PADA TENGAH HARI

27/03/2025 03:06 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum positifnya pada tengah hari ini, didorong oleh minat belian dalam kebanyakan saham wajaran tinggi terutamanya sektor perbankan dan pembinaan berikutan sentimen pasaran yang lebih baik, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.84 peratus atau 12.77 mata kepada 1,530.82 daripada 1,518.05 pada Rabu. 

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 4.97 mata kepada 1,513.08 dan bergerak antara 1,512.81 dan 1,531.40 sepanjang sesi dagangan pagi.  

Suasana pasaran menjadi positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 411 berbanding 381 manakala 414 kaunter tidak berubah, 1,263 tidak diniagakan dan 160 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.64 bilion saham bernilai RM1.09 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, tumpuan peniaga dijangka beralih kepada sektor minyak dan gas selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas rakan dagangan Venezuela dan meneruskan tekanan terhadap Iran, dijangka menyokong harga minyak dalam jangka pendek.

“Sementara itu, kami kekal positif terhadap Aumas Resources Bhd berikutan momentum kenaikan harga emas yang dijangka berterusan, didorong oleh ketidaktentuan berterusan mengenai dasar perdagangan AS dan kebimbangan mengenai sentimen pengguna yang lemah di AS,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 18 sen kepada RM10.36, Tenaga Nasional meningkat 22.0 sen kepada RM13.54, CIMB Group menambah 9.0 sen kepada RM7.13 dan IHH Healthcare naik 10.0 sen kepada RM6.91 manakala Public Bank mendatar pada RM4.47.

Bagi saham aktif, Gamuda menambah 25.0 sen kepada RM4.26, Pos Malaysia naik 6.5 sen kepada 26 sen dan Chemlite Innovation meningkat 1.0 sen kepada 24 sen manakala MY EG Services berkurangan setengah sen kepada 92 sen dan Bina Puri Holdings mendatar pada 33 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 85.06 mata kepada 11,462.39, Indeks FBMT 100 naik 91.10 mata kepada 11,225.54, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 80.26 mata kepada 11,204.10, Indeks FBM 70 menokok 123.20 mata kepada 16,441.67 dan Indeks FBM ACE naik 1.55 mata kepada 4,733.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 171.90 mata kepada 18,653.97, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.22 mata kepada 154.28 dan Indeks Tenaga naik 1.75 mata kepada 754.49.

Sementara itu, Indeks Perladangan merosot 18.50 mata kepada 7,435.69.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan