KOTA SAMARAHAN, 27 Mac (Bernama) -- Projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas di Kem Muara Tuang di sini dijangka siap lebih awal pada hujung tahun ini berbanding sasaran pada Februari 2026.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek di kawasan seluas 11.4 hektar dengan kos kontrak bernilai RM116 juta itu, mencapai kemajuan 50.05 peratus siap setakat 25 Mac lepas.
“Sasaran tarikh siap ialah Februari 2026 tetapi mungkin lebih awal, kemungkinan hujung tahun ini boleh siap,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan projek tersebut hari ini.
Projek kuarters kediaman tersebut merangkumi pembinaan 190 unit RKAT pelbagai kelas serta kemudahan asas lain antaranya surau dan taska.
Jabatan Kerja Raya telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi menyiapkan projek pembinaan ini yang dilaksanakan secara reka dan bina.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan