LABUAN, 28 Mac (Bernama) -- Ribuan orang yang mula bergerak melalui terminal feri Labuan menuju ke tanah besar Sabah dan Sarawak sempena cuti Aidilfitri, menyebabkan jumlah kenderaan dan penumpang di kawasan itu semakin meningkat dengan mendadak.
Suasana di Terminal Feri Ro-Ro Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan sibuk dengan para penumpang yang mula beratur dalam barisan seawal 5.30 pagi dengan pelbagai jenis kenderaan daripada kereta keluarga hingga ke lori besar, terus menghala ke terminal feri itu.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Labuan Point Enterprise, syarikat pengurusan tiket bagi empat feri utama iaitu Putrajaya 1, Kimanis 2, Joy Star dan Goodwill telah pun mengesahkan tujuh perjalanan harian dari Labuan ke Menumbok, Sabah-Labuan.
Pengurus Labuan Point Enterprise Robert Ling Song Shieng berkata penjualan tiket bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan telah dibuka dua bulan lebih awal, sebagai persediaan menghadapi musim perayaan Aidilfitri.
Beliau berkata kesemua tiket perjalanan dari 27 Mac hingga 2 April telah habis dijual.
Ling berkata Putrajaya 1 yang merupakan feri terbesar mereka mampu untuk membawa 85 kenderaan dan 500 penumpang, manakala Goodwill Star mempunyai kapasiti 85 kenderaan dan 420 penumpang. Kimanis 1 dan Joy Star pula masing-masing boleh memuatkan 55 kenderaan dan 220 penumpang.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah menetapkan 30 Mac sebagai tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan tarikh Aidilfitri.
Syarikat Juta Bonus yang mengendalikan feri Galaxy dan Blue Ocean, juga telah turut meningkatkan operasi mereka dengan menyediakan tiga perjalanan harian dari 27 Mac hingga 2 April, bagi menampung jumlah penumpang yang semakin bertambah.
Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holdings Sdn Bhd Noor Halim Zaini yang merupakan syarikat pengurusan Terminal Feri Antarabangsa Labuan mengesahkan peningkatan jumlah perjalanan bot penumpang kepada 40 perjalanan harian dari Labuan ke Menumbok bermula 27 Mac hingga 2 April.
Beliau berkata langkah itu dirancang secara strategik bagi menguruskan peningkatan jumlah penumpang yang telah dijangka berlaku.
Dengan musim perayaan semakin hampir, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dengan baik dan tiba lebih awal di terminal bagi mengelakkan kesesakan.
Pengarah Jabatan Laut Labuan Alimuddin Amirudin berkata pihaknya akan terus memantau keadaan bagi memastikan operasi feri berjalan lancar dan selamat untuk semua penumpang.
-- BERNAMA