ALOR SETAR, 28 Mac (Bernama) -- Kira-kira 132,000 penumpang dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi dan sebaliknya, dijangka akan menggunakan perkhidmatan feri sepanjang waktu puncak menjelang perayaan Aidilfitri bermula semalam sehingga 6 April.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata bermula semalam, jadual perjalanan feri kembali normal dengan lima perjalanan pergi dan balik dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi, manakala setiap feri mampu memuatkan seramai 600 orang pada satu masa.
“Purata, sehari seramai 3,000 penumpang masuk dan 3,000 penumpang keluar dari Kuala Perlis. Jadi, jumlah sehari seramai 6,000 penumpang dan untuk Kuala Kedah juga puratanya sama juga.
“Jadi, untuk 11 hari waktu puncak ini, feri bakal mengendalikan pergerakan penumpang seramai 132,000 orang dan buat masa ini tiket masih belum habis terjual lagi. Jadi, penumpang boleh membuat tempahan tiket mengikut waktu yang mereka inginkan dan masa perjalanan feri tidak sama setiap hari," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Dalam pada itu, Norhafiz berkata, semakan pihaknya mendapati paras pasang surut air laut di alur pelayaran di Kuala Perlis dan Kuala Kedah berada pada paras selamat dan baik untuk perjalanan feri sempena sambutan Aidilfitri ini.
“Mulai semalam hingga Isnin ini, paras air laut di Kuala Perlis mula pasang bermula 9 pagi pada kedudukan 1.6 meter (m), kemudian menurun kepada 1.4m pada 5.30 petang dan ia selamat untuk feri membuat perjalanan.
“Paras air laut pasang di Kuala Kedah pada tarikh sama pula menunjukkan bacaan 1.4m pada pukul 9 pagi dan paras itu kekal selama lapan jam dan air laut hanya dijangka mulai surut selepas pukul 6 petang,” katanya.
Beliau berkata pihaknya yakin perjalanan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi akan berlepas dan berpatah balik dengan selamat dan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Sekiranya berlaku kelewatan feri antara lima hingga 15 minit, pihak Jabatan Laut Malaysia masih boleh mempertimbangkan lagi tetapi sekiranya ia melebihi tempoh 30 minit hingga satu jam, Ferry Line akan menggantikan feri yang lain sekiranya feri asal mengalami masalah teknikal,” katanya.
-- BERNAMA