AM

PULAU PINANG REKOD PENINGKATAN PENYAKIT HFMD DALAM TEMPOH TIGA BULAN PERTAMA 2025

28/03/2025 04:13 PM

GEORGE TOWN, 28 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang merekodkan peningkatan ketara kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dari 1 Jan hingga 22 Mac lepas, dengan 3,446 kes iaitu bertambah 409 peratus, berbanding 677 bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata daerah Seberang Perai Tengah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,082 kes,  diikuti Seberang Perai Selatan (700), Timur Laut (628), Barat Daya (620) dan Seberang Perai Utara dengan 416 kes.

“Pada Minggu Epidemiologi (ME) 12 dari 16 hingga 22 Mac lepas telah mencatatkan 422 kes baharu HFMD iaitu peningkatan 25 kes atau 6.3 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Pada minggu yang sama, 22 kluster baharu HFMD juga telah dilaporkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) Dr l Rozaini Mat Shah dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Kawalan Penyakit Berjangkit JKNPP Noor Farhana Mohd Fathil.

Gooi menjelaskan taska, tadika, tabika, dan prasekolah merupakan premis berisiko berlakunya kluster HFMD dengan 112 kluster yang dilaporkan pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan ketika ini hanya terdapat 26 kluster yang masih aktif, selain semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar manakala tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

“Berdasarkan survelan enterovirus, virus utama penyebab penularan HFMD di Pulau Pinang adalah Coxsackievirus A16 (CA16) yang merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit. 

“Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan seperti demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang dijangkiti HFMD pulang tanpa memerlukan rawatan khusus dalam tempoh tujuh ke sepuluh hari,” katanya.

Sementara itu, Gooi juga memaklumkan terdapat satu kes dikesan Enterovirus 71 (EV71) tahun ini di negeri ini, yang boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis (jangkitan otak), pneumonitis (jangkitan paru-paru) dan myocarditis (jangkitan otot jantung), namun tiada yang serius atau perlu mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau kematian dilaporkan.

Susulan perkembangan itu, beliau berkata JKNPP menyeru orang ramai terus berwaspada serta mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko dijangkiti seterusnya menangani peningkatan kes HFMD antaranya sentiasa menjaga kebersihan diri, rumah serta kawasan persekitaran.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan