PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 April untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan peguam Datuk Sreesanthan Eliathamby terhadap Mahkamah Tinggi yang memutuskan beliau bertanggungjawab bagi urus niaga dalaman membabitkan saham Worldwide Holdings Bhd pada 2006.
Peguam Abraham Au, yang mewakili Sreesanthan, mengesahkan tarikh itu manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin memberitahu Bernama bahawa mahkamah memaklumkan perkara tersebut melalui surat yang dikeluarkan semalam.
Peguam Negara dijangka terlibat dalam rayuan itu sebagai amicus curiae atau sahabat mahkamah.
Pada 5 Feb lepas, panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menangguhkan keputusan rayuan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
Pada November 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Sreesanthan bertanggungjawab bagi urus niaga dalaman membabitkan saham Worldwide Holdings Bhd pada 2006.
Beliau telah diperintah membayar RM1.99 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) iaitu tiga kali ganda nilai keuntungan yang diperoleh hasil urus niaga dalaman itu dan tambahan RM1 juta sebagai penalti sivil.
Sreesanthan juga dilarang menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai selama 10 tahun bermula pada 18 Nov 2020.
Pada 6 Sept 2022, Mahkamah Rayuan menolak rayuan beliau dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada April tahun lepas, Sreesanthan memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan itu.
Sreesanthan didakwa memperoleh sejumlah 600,000 saham Worldwide antara 7 Jun dan 11Julai 2006 semasa beliau memiliki maklumat material bukan awam berhubung cadangan penswastaan Worldwide oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.
Ketika itu, beliau adalah rakan kongsi kanan di sebuah firma guaman yang dilantik sebagai penasihat undang-undang bagi cadangan penswastaan Worldwide.
-- BERNAMA