DUNIA

PALANG MERAH: EMPANGAN DI MYANMAR BERISIKO RUNTUH SELEPAS GEMPA BUMI KUAT 

29/03/2025 09:15 AM

BANGKOK, 28 Mac (Bernama-dpa) -- Palang Merah di Myanmar melaporkan kerosakan teruk susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Jumaat, menurut agensi berita Jerman (dpa).  

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) telah berhubung dengan kakitangan di wilayah terjejas, kata pengurus program IFRC di lokasi, Marie Manrique.  

Terdapat kebimbangan besar bahawa empangan di Sungai Irrawaddy mungkin mengalami kerosakan dan berisiko pecah.  

Menurut Manrique, seramai 18.5 juta orang tinggal di kawasan terjejas berhampiran bandar Sagaing, di mana dua gempa bumi – masing-masing dianggarkan dengan magnitud 7.7 dan 6.4 – direkodkan pada Jumaat.  

Ramai daripada mereka kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.  

Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kira-kira 1.6 juta daripada 3.5 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Myanmar tinggal di wilayah terjejas gempa.

"Kami sangat bimbang tentang kemungkinan akibat kemanusiaan," kata Manrique. "Kami menjangkakan ramai yang cedera."  

-- BERNAMA-dpa  

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan