EKONOMI

U MOBILE TERIMA SURAT ANUGERAH DARI MCMC UNTUK RANGKAIAN 5G GENERASI BAHARU

29/03/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd telah menerima surat anugerah rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk penggunaan rangkaian 5G terbaharu Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Wong Heang Tuck berkata mandat itu meletakkan syarikat itu memainkan peranan penting dalam memajukan matlamat kerajaan menjadikan Malaysia peneraju ekonomi digital serantau.

Beliau berkata U Mobile akan memberikan pengalaman unggul melalui rangkaian 5G generasi akan datang (generasi baharu) gred perusahaannya.

“Kami komited untuk menyokong transformasi digital negara dengan memacu penggunaan 5G dan menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi negara digital berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata dengan rekod prestasi yang menjangkau lebih daripada 17 tahun, U Mobile yakin dalam menyampaikan rangkaian 5G generasi seterusnya yang terbaharu.

Syarikat itu juga mengalu-alukan visi kerajaan untuk Rangkaian Dwi 5G dan berkata ia akan meningkatkan kemampanan industri sambil menggalakkan persaingan dan inovasi, mengekalkan Malaysia di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan