DUNIA

SINGAPURA HANTAR KONTINJEN OPERASI LIONHEART UNTUK USAHA MENYELAMAT MANGSA GEMPA BUMI MYANMAR

29/03/2025 04:29 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 29 Mac (Bernama) -- Kontinjen Operasi Lionheart (OLH), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dikerahkan pada Sabtu bagi membantu operasi menyelamat di Myanmar susulan gempa bumi pada Jumaat.

SCDF dalam hantaran di Facebook memaklumkan bahawa kontinjen 80 anggota yang diketuai Kolonel Tay Zhi Wei itu berlepas dari Lapangan Terbang Changi sekitar 1.20 tengah hari sebagai tindak balas kepada permintaan bantuan kemanusiaan berikutan bencana itu.

Kontinjen itu terdiri daripada anggota penyelamat Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana (DART), "Operationally Ready National Servicemen" (ORNS), doktor perubatan Perkhidmatan Negara sepenuh masa, paramedik, pakar pencarian bersama empat ekor anjing pengesan, pakar bahan berbahaya serta pegawai sokongan.

“Kontinjen OLH membawa pelbagai peralatan mudah alih Mencari dan Menyelamat di Kawasan Bandar (USAR) seperti peralatan pemotongan, pemecahan dan pengangkatan, selain alat pengesan hayat serta skop gentian optik,” menurut SCDF.

Sejak penubuhan OLH pada 1990, pasukan itu telah dikerahkan ke seluruh rantau Asia Pasifik untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada negara-negara yang dilanda bencana besar, termasuk runtuhan Highland Towers di Malaysia, gempa bumi dan tsunami di Jepun serta gempa bumi Christchurch pada 2011.

Selain itu, tiga pegawai SCDF turut dihantar ke Myanmar sebagai sebahagian daripada Pasukan Respons dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) di bawah Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).

Tugas utama ASEAN-ERAT adalah menjalankan penilaian pantas serta menentukan sumber kritikal yang diperlukan bagi kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.

Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda berhampiran Sagaing, Myanmar, sekitar 12.50 tengah hari waktu tempatan pada Jumaat setakat ini telah meragut 1,002 nyawa, dengan ramai lagi dilaporkan cedera dan hilang.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan