KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia untuk menghulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi kuat di Myanmar yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa setakat ini.
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata berbekalkan pengalaman dan kepakaran pengurusan bencana, pihaknya kini dalam keadaan siap sedia untuk menggerakkan pasukan khas membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di negara berkenaan
“APM terdiri daripada anggota terlatih yang berpengalaman dalam pengurusan bencana, termasuk pegawai perubatan, penyelamat serta pakar logistik bagi memastikan operasi dijalankan dengan cekap dan berkesan.
“Pada masa ini, APM masih menunggu arahan rasmi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan ke lokasi bencana pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini..
Beliau berkata pasukan itu juga dilengkapi dengan pelbagai peralatan khas untuk menjalankan SAR, membolehkan penyaluran bantuan kecemasan dilakukan dengan pantas dan berkesan.
Antaranya termasuk alat Leader Sentry yang boleh digunakan untuk mengesan kestabilan struktur bangunan, Leader Hasty yang menggunakan teknologi tanpa wayar bagi mengesan mangsa tertimbus, dan Lighting Drone berfungsi sebagai pencahayaan kecemasan dan pemantauan video bagi operasi malam.
“Malaysia kekal komited terhadap kerjasama serantau dan terus memainkan peranan utama dalam bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana ASEAN.
“Selaras dengan piawaian International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG), setiap misi mematuhi standard antarabangsa, memastikan pasukan penyelamat dilengkapi kepakaran teknikal, peralatan canggih dan prosedur operasi sistematik.
Beliau memaklumkan komitmen ini meneguhkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan dan memperkukuh daya tahan rantau ASEAN dalam menghadapi bencana alam.
Semalam, Bernama melaporkan Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10 kilometer dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada Skala Richter melanda kawasan yang sama sekitar 6.20 pagi.
Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.
-- BERNAMA