SUKAN

JDT BELASAH KDA FC 6-1 DI STADIUM DARUL AMAN

30/03/2025 12:53 AM

ALOR SETAR, 29 Mac (Bernama) -- Juara Liga Super 11 musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Aksi babak pertama menyaksikan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Namun, JDT berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi penyudah kemas Bergson Gustavo selepas menerima hantaran Junheong Park diikuti kehebatan Romel Morales menggandakan kelebihan pelawat seminit kemudian dengan menyempurnakan umpanan Bergson di dalam kotak penalti.

Skuad JDT terus mengukuhkan kedudukan apabila Bergson sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti selepas Oscar dijatuhkan.

Kedah cuba bangkit dan memperoleh gol tunggal mereka pada minit ke-33 hasil jaringan Mohammad Afeeq Iqmal Rosli yang bijak memperdayakan penjaga gol lawan, Ahmad Syihan Hazmi.

Namun, jaringan itu tidak cukup untuk menghalang dominasi JDT apabila Jordi Amat menambah gol keempat menerusi tandukan pada minit ke-60 diikuti rembatan Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-82.

Bergson kemudian melengkapkan hatriknya dengan satu lagi sepakan penalti pada masa tambahan memastikan kemenangan bergaya 6-1 buat JDT.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan