AM

MUHAMAD ZA'IMUDDIN AKAN DIBERI BIMBINGAN DAPATKAN LESEN PENJAJA SELEPAS PULIH

30/03/2025 06:18 PM

SERDANG, 30 Mac (Bernama) -- Penjaja belon Muhamad Za’imuddin Azlan yang didakwa dikasari penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diberikan bimbingan dan sokongan untuk mendapatkan lesen penjaja selepas beliau pulih kelak, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan Datuk Azman Abidin.

Beliau berkata ia bagi membantu penjaja yang digelar ‘abang belon’ itu dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu, mampu menyara kehidupannya dan keluarganya.

“Kita dah bagi jaminan bahawa selepas pulih, dia boleh jumpa saya untuk kita (MPN) bantu mendapatkan lesen penjaja,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Za’imuddin, 29, yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, di sini, hari ini.

Rakaman video memaparkan pergelutan antara anggota penguat kuasa DBKL dengan Muhamad Za’imuddin itu yang tular di media sosial mendapat reaksi pelbagai dari orang ramai.

DBKL dalam kenyataan sebelum ini berkata insiden itu berlaku susulan penjaja berkenaan enggan memberi kerjasama mematuhi arahan penguat kuasa selain didakwa bertindak agresif terhadap anggota bertugas.

Merujuk kepada keadaan Za’imuddin, Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata laporan perubatan penuh akan dikeluarkan pihak hospital, namun Muhamad Za’imuddin yang masih terlantar boleh berinteraksi secara jelas dengan orang lain.

Azman yang turut bersimpati dengan keadaan mangsa bagaimanapun mengingatkan golongan penjaja mahupun anggota penguat kuasa untuk beroperasi dan menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang ditetapkan.

“Cuma kebanyakan peniaga ‘rambo’ ini, mereka tidak tahu cara mohon (lesen), sebab itu kita kena bekerjasama dengan persatuan penjaja atau lain-lain badan bukan kerajaan untuk bantu mereka yang menjaja ini termasuk DBKL, (untuk) bagaimana permudahkan mereka dapatkan lesen, tapi mesti di kawasan sesuai,” katanya.

Beliau turut menyampaikan pesanan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Muhamad Za’imuddin yang menasihatkannya untuk bersabar dan menyerahkan insiden itu untuk disiasat pihak berkuasa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan