DUNIA

GEMPA BUMI MYANMAR: PASUKAN SINGAPURA, PENYELAMAT TEMPATAN SELAMATKAN LELAKI DALAM OPERASI 8 JAM

30/03/2025 04:51 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 30 Mac (Bernama) -- Kontinjen Operasi Lionheart (OLH) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bersama penyelamat tempatan, bertungkus-lumus mengeluarkan seorang lelaki yang terperangkap di bawah bangunan separa runtuh di Naypyidaw, Myanmar, selepas gempa bumi melanda pada Jumaat.  

Dalam satu hantaran di Facebook, SCDF memaklumkan usaha bersama antara kontinjen OLH dan Jabatan Perkhidmatan Bomba Yangon (YFSD) berjaya mengeluarkan seorang lelaki yang terperangkap di sebuah bangunan kediaman tiga tingkat di Jalan Ngu Wah, selepas operasi selama lapan jam.  

Lelaki itu, yang ditemukan dalam keadaan sedar dan stabil, segera dihantar ke hospital tempatan untuk rawatan.  

Pasukan OLH yang terdiri daripada 80 anggota, diketuai Kolonel Tay Zhi Wei, tiba di Naypyidaw pada 7.30 malam (waktu Singapura) pada Sabtu, susulan permohonan bantuan kemanusiaan selepas gempa bumi.  

Kontinjen itu memulakan operasi mencari dan menyelamat di Perbandaran Zebuthiri, Naypyidaw, pada 1 pagi (waktu Singapura) Ahad.  

Pasukan itu merangkumi penyelamat dari Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART), Anggota Perkhidmatan Negara Siap Siaga (ORNS), doktor perubatan dan paramedik Perkhidmatan Negara sepenuh masa, pakar pencarian dengan empat ekor anjing pengesan, pakar bahan berbahaya, serta pegawai sokongan.  

Mereka turut membawa pelbagai peralatan Urban Search and Rescue (USAR) mudah alih seperti pemotong serta peranti pengesan hayat dan skop gentian optik.  

Sejak penubuhan kontinjen OLH pada 1990, pasukan itu dikerahkan ke seluruh rantau Asia Pasifik untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada negara-negara yang dilanda bencana besar, termasuk runtuhan Highland Towers di Malaysia, gempa bumi dan tsunami di Jepun, serta gempa bumi Christchurch pada 2011.  

Selain itu, tiga pegawai SCDF turut dihantar ke Myanmar sebagai sebahagian daripada Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ERAT) di bawah naungan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre).

Fungsi utama ASEAN-ERAT adalah untuk membuat penilaian pantas dan menentukan sumber kritikal yang diperlukan bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.  

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan