TELUK INTAN, 31 Mac (Bernama) -- Tidak hanya menggemari lemang, Wee Fook Seong juga pernah menghasilkan makanan tradisional masyarakat Melayu itu sejak berusia lapan tahun.
Pempengaruh dan pencipta kandungan berbangsa Cina yang begitu sinonim dengan loghat Perak Pak Wee, 36, tidak pernah jemu dengan hidangan lemang setiap kali perayaan Aidilfitri.
Pak Wee berkata semasa tinggal di Felda Lasah, Sungai Siput di tempat kelahirannya, beliau sering menyertai aktiviti membakar lemang bersama penduduk kampung.
“Di Felda Lasah, 99 peratus penduduk berbangsa Melayu, saya dan keluarga sahaja orang Cina yang tinggal di situ. Jadi, setiap kali hari raya, saya pasti tidak melepaskan peluang menyertai penduduk kampung untuk membakar lemang secara beramai-ramai.
“Proses membakar lemang ini seronok sebenarnya sebab dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga, saudara-mara atau sahabat handai sebab bukan selalu dapat berkumpul bersama-sama, boleh berborak cerita macam-macam,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Parit 6D, Sungai Manik dekat sini semalam.
Bapa kepada empat cahaya mata perempuan itu berkata beliau amat menggemari lemang jagung yang dimakan bersama rendang pedas daging Perak.
Beliau berkata kebiasaannya rakan-rakan Melayu sering mengajaknya membakar lemang di sekitar Perak antaranya di Gopeng, Sungai Siput atau Teluk Intan.
“Proses menghasilkan lemang bermula dengan mencari buluh, daun pisang termasuk mengisi pulut ke dalam buluh. Mesti tahu tekniknya kalau tidak lemang susah nak masak.
“Membakar lemang ini seronok apabila ramai-ramai buat bersama-sama tetapi tak suka semasa hendak membalikkan buluh lemang, boleh melecur jari dibuatnya.
Pak Wee berkata lemang adalah makanan tradisi masyarakat Melayu yang tidak boleh ditinggalkan setiap kali musim perayaan kerana keunikan dan kesedapan makanan itu tidak boleh ditandingi dengan mana-mana sajian perayaan terutamanya makanan moden.
“Lemang makanan yang tidak boleh ditinggalkan sampai bila-bila. Makan lemang bersama dengan rendang daging atau ayam boleh sampai berpeluh dibuatnya,” katanya, sambil memberitahu isteri serta anak-anaknya turut menggemari lemang.
-- BERNAMA