IPOH, 31 Mac (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 3.05 petang disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan exco kerajaan negeri dan beberapa orang kenamaan.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Pada majlis itu juga Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni rumah kebajikan anak yatim Vision Home, Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak Yatim & Miskin Anning, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam dan Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar.
Kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan sambutan dan menikmati pelbagai juadah yang disediakan antaranya sate, kebab, nasi himpit, kuetiau, ketupat, lemang, rendang, laksa, apam lenggang dan minuman.
Terdahulu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk menyatukan dan mendamaikan.
"Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk menyalakan kembali semangat perpaduan supaya ia tidak dibiarkan kelam ditelan api permusuhan," katanya.
Beliau berkata musim perayaan adalah saat untuk menautkan kembali hati bagi menyuburkan kembali semangat kekitaan.
Ini kerana katanya kebelakangan ini, masyarakat sering sahaja berhadapan bermacam insiden dan episod yang menggoncang semangat perpaduan.
"Lebih malang, setiap isu yang timbul tidak lagi dibicarakan mengikut hikmah ratif keilmuan sebaliknya ditanggapi dengan emosi dan prejudis mengikut naratif agama dan perkauman."
"Sehinggakan polemik dan perdebatan yang timbul sering sahaja mencetuskan prasangka dan kesangsian. Satu demi satu naratif kebencian dibina supaya masyarakat mudah saling curiga mencurigai."
"Lebih membimbangkan, suara-suara kebencian ini disambut oleh generasi muda yang tidak sempat merasai keindahan perpaduan sebenar, lalu tanpa segan silu menuturkan bahasa permusuhan," katanya.
-- BERNAMA