AM

RAJA PERMAISURI AGONG KURNIA JAMUAN HARI RAYA KEPADA SISWAZAH ANTARABANGSA UTM

31/03/2025 11:35 PM

 KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan mengurniakan Jamuan Hari Raya Aidilfitri kepada siswazah antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Johor Bahru.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selepas solat sunat Aidilfitri, seramai 500 siswazah antarabangsa dari lebih 10 negara berkumpul di Blok UTM International untuk menikmati jamuan raya yang menyajikan juadah seperti nasi briyani berlauk ayam, kambing, daging, sate dan manisan.

Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam ucapan menjunjung kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda yang juga Canselor UTM mengurniakan jamuan itu, berharap agar pelajar antarabangsa yang tiada kesempatan pulang ke negara mereka dapat merasai suasana sambutan hari raya di kampus.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Hishamuddin Abd Rahim.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan