Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Malaysia harus mengambil peluang ke atas segala perjanjian unilateral perdagangan bebas untuk memperluaskan lagi potensi pasaran sebagai langkah persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan kesan perlaksanaan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Putra Business School Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata usaha ini dapat memastikan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada satu, dua negara dagang utama seperti AS dan China semata-mata.
Antara perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang telah ditandatangani oleh Malaysia adalah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan juga sebagai rakan negara Brazil, Rusia, India, China, and Afrika Selatan (BRICS).
“Selain itu, selaku pengerusi ASEAN, Malaysia harus mengambil peluang untuk meningkatkan aktiviti perdagangan di dalam rantau untuk kepentingan negara dan juga negara anggota,” katanya kepada Bernama.
Menurut Ahmed Razman, impak daripada pelaksanaan tarif import oleh AS ke atas Malaysia serta negara serantau hanya akan lebih jelas pada 2 April nanti apabila Donald Trump mengumumkan kadar tarif yang akan dikenakan ke atas 15 negara yang berdagang dengan AS, yang menyebabkan AS mengalami defisit perdagangan.
Daripada 15 negara tersebut, beliau berkata lima adalah negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Cambodia.
“Di dalam senarai ‘dirty 15', Malaysia kemungkinan antara negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS yang paling rendah sekali dan oleh itu, jika AS mahu mengenakan tarif ke atas barangan Malaysia, kemungkinan kadar dikenakan adalah agak rendah atau minimum,” katanya.
Selain itu, beliau berkata masih terdapat ruang untuk kerajaan Malaysia berunding dengan AS untuk mendapatkan pengecualian daripada dikenakan tarif tersebut.
Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata pengenalan tarif oleh AS ke atas Mexico, Kanada dan China boleh membuka peluang kepada pengeksport Malaysia meningkatkan pengeluaran dan menggandakan eksport mereka ke AS.
Di dalam jawapan lisan pada persidangan Dewan Negara baru-baru ini, MITI berkata meskipun tidak membawa impak langsung terhadap eksport Malaysia tetapi kenaikan harga produk dari negara-negara yang dikenakan tarif akan menjadikan produk Malaysia sebagai alternatif pasaran lebih kompetitif.
"Negara pelabur juga dijangka akan mencari sasaran destinasi pelaburan baharu serta sumber produk yang kompetitif untuk mengelakkan bayaran tarif tinggi," katanya.
Mengenai kepengerusian Malaysia pada ASEAN tahun ini, Ahmed Razman berkata kelancaran mesyuarat-mesyuarat berkaitan ASEAN setakat ini akan memberi impak yang positif kepada negara dari sudut ekonomi, pelaburan atau perdagangan.
Ini katanya, terbukti apabila Bank Negara Malaysia telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini yang akan dipacu oleh peningkatan aktiviti ekonomi domestik di samping kemasukan pelaburan asing termasuklah dari negara ASEAN sendiri.
“Walaupun masih terlalu awal untuk menilai impak daripada mesyuarat-mesyuarat ini ke atas ekonomi dan perdagangan antara negara anggota, sekurang-kurangnya kita mendapati bahawa kelancaran perjalanan mesyuarat-mesyuarat tersebut merupakan bukti jelas atas komitmen negara anggota untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan perdagangan di rantau ASEAN.
“Ini juga merupakan bukti keyakinan negara-negara anggota ke atas Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA