AM

KEBAKARAN SALURAN PAIP GAS: KERAJAAN SELANGOR AKTIFKAN PPS DI MASJID PUTRA HEIGHTS

01/04/2025 02:33 PM

SHAH ALAM, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Selangor telah mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights bagi menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height pagi tadi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di laman X memaklumkan PPS itu dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas dengan insiden kebakaran berkenaan.

“Pihak bomba sedang dalam proses mengawal kebakaran dan telah mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan sekitar. 

“Unit Pengurusan Bencana Daerah telah mengaktifkan PPS di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terlibat sementara waktu sehingga keadaan pulih dan terkawal,” katanya.

Sementara itu Exco Pengurusan Bencana Selangor Mohd Najwan Halimi dalam kenyataan memaklumkan terdapat beberapa rumah di Kampung Kuala Sungai Baru turut terbakar susulan insiden berkenaan, namun jumlahnya masih belum dikenal pasti.

“Ada juga mangsa yang terperangkap di dalam rumah itu dan usaha menyelamatkan sedang giat dijalankan. Sementara itu mangsa yang telah diselamatkan dibawa ke PPS berkenaan dan terdapat beberapa mangsa yang melecur serta menunggu ambulans untuk mendapatkan rawatan. Buat masa ini, pihak masjid sedang membantu mangsa,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter, berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.  

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan