AM

KEBAKARAN SALURAN GAS: BEKALAN ELEKTRIK PULIH SEPENUHNYA DI SUBANG JAYA

01/04/2025 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) --  Gangguan bekalan elektrik di sekitar kawasan  Subang Jaya, Selangor disebabkan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, telah pulih sepenuhnya.

TNB Careline dalam kenyataan di laman Facebook berkata sebelum ini pasukan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menilai situasi awal pagi tadi, dan kerja-kerja pemulihan bekalan dilaksanakan sebaik sahaja keadaan disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan yang terlibat atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan bekalan dijalankan,” menurut kenyataan itu. 

TNB juga memaklumkan akan terus memantau perkembangan dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Pengguna di kawasan yang terjejas bekalan elektrik boleh menghubungi TNB di talian 15454 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.

Dalam kejadian pagi tadi, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berhampiran dengan kawasan perumahan awam itu berlaku akibat kebocoran saluran paip gas yang dianggar sepanjang 500 meter.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan