KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Petronas Dagangan Bhd (PDB) menjelaskan bahawa video yang tersebar di media sosial berhubung kejadian kebakaran di Putra Heights, Puchong tidak berlaku di mana-mana stesen minyak Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
“Tiga stesen minyak Petronas (PS) berdekatan -- PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari -- tidak terjejas, sebaliknya ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga.
“Pelanggan boleh menggunakan alternatif berikut untuk mengisi minyak kenderaan mereka - PS USJ 20, PS USJ 6 dan PS USJ 9,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut PDB, pihaknya bekerjasama rapat dengan semua pihak yang berkaitan untuk memastikan keselamatan komuniti, penduduk dan alam sekitar selaras dengan dasar dan piawaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitarnya.
Terdahulu, Petronas mengesahkan kebakaran berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor pada 8.10 pagi ini.
Katanya saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan telah dimaklumkan.
-- BERNAMA