KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kebakaran berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor pada 8.10 pagi ini.
Katanya saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan telah dimaklumkan.
“Kawasan di sekitar stesen minyak tidak terjejas.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk menguruskan keadaan dan kami akan memberikan maklumat tambahan dalam masa terdekat berikutan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Petronas berkata tiga stesen minyak berhampiran iaitu PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari tidak terjejas, sebaliknya ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga.
“Pelanggan boleh menggunakan alternatif berikut untuk mengisi minyak kenderaan mereka - PS USJ 20, USJ 6 dan USJ 9,” katanya.
Petronas memberi jaminan bahawa keselamatan komuniti sekitar, kelestarian alam sekitar dan bekalan gas kepada negara terus menjadi keutamaannya.
-- BERNAMA