SHAH ALAM, 1 April (Bernama) -- Masjid Al-Falah USJ 9 di Subang Jaya dekat sini kini dibuka kepada mereka yang terkesan susulan kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights serta kawasan sekitarnya.
Menerusi hantaran di akaun Facebook masjid berkenaan memaklumkan ia sentiasa dibuka sekiranya ada individu atau keluarga yang memerlukan tempat sementara untuk berehat serta berlindung.
“Kami di Masjid Al-Falah USJ 9 ingin memaklumkan bahawa masjid kini dibuka untuk semua yang terkesan akibat insiden kebakaran di kawasan Putra Heights dan sekitarnya.
“Kami bersama anda dalam menghadapi ujian ini. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan melindungi semua yang terlibat. Sila hubungi wakil masjid di talian 03-80116949 atau datang terus ke masjid jika memerlukan sebarang bantuan,” menurut hantaran berkenaan.
Terdahulu media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter, berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.
-- BERNAMA