MELAKA, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka memutuskan akan meneruskan penganjuran Bazar Ikonik Banda Hilir selepas menerima maklum balas positif daripada peniaga, pembeli dan pelancong yang mengunjunginya sepanjang Ramadan lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri untuk merancakkan ekonomi peniaga kecil yang mencari rezeki pada bulan Ramadan di samping menarik lebih ramai pelancong ke kawasan itu selepas penganjuran Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah, yang sebelum ini amat sinonim dengan penduduk Melaka, dipindahkan ke Banda Hilir.
"Walaupun pertama kali diadakan di lokasi tersebut, kita dapati sambutan yang diterima amat luar biasa kerana di situlah terdapat ramai pelancong kerana pengunjung tetap datang walaupun bukan bulan puasa dan lebih menarik, kita benarkan peniaga memulakan perniagaan seawal tujuh hari sebelum Ramadan dari 3 petang hingga 3 pagi.
"Sudah tentu lebih banyak penambahbaikan akan dilakukan bagi penganjuran akan datang untuk memastikan limpahan ekonomi di lokasi tersebut bukan sahaja dinikmati oleh peniaga bazar tetapi juga penarik beca yang akan mendapat banyak pelanggan terutama pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka DAtuk Rais Yasin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput di Kompleks Sukan Komuniti Krubong di sini hari ini.
Ab Rauf berkata kerjasama yang diberikan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah turut menjadi katalis kepada kejayaan penganjuran Bazar Ikonik Banda Hilir seterusnya menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.
Beliau juga berkata pihaknya kini di peringkat akhir tapisan bagi senarai pemilihan peniaga di tapak Up Town Paya Rumput yang dijangka memulakan operasi selepas Aidiladha.
"Kita hanya ada 30 tapak tetapi yang memohon pula seramai 389 orang. Untuk itu, kita buat pemilihan yang sangat ketat kerana tidak mahu projek Up Town ini menjadi gajah putih kerana kerajaan negeri telah membelanjakan wang yang banyak untuk memastikan ia berjaya.
"Lebih utama, kita tidak mahu pembiayaan sebanyak RM3,000 dan sewaan tapak secara percuma selama enam bulan disia-siakan atau lebih teruk, mereka tidak berniaga selepas enam bulan tersebut," katanya.
Mengulas mengenai Rumah Terbuka Aidilfitiri Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang dijangka dihadiri 20,000 tetamu, Rais berkata penganjurannya akan terus menjadi tradisi di kawasan itu dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama yang menetap di lokasi tersebut.
"Komposisi masyarakat di DUN Paya Rumput ini amat majmuk dan kita dapat lihat semua kaum datang ke rumah terbuka ini untuk sama-sama meraikan Syawal, menikmati juadah hari raya serta (menjadikan ia sebagai) ruang untuk bertemu rakan-rakan. Jadi saya harap sasaran 20,000 tetamu akan hadir pada hari ini tercapai," katanya.
-- BERNAMA