JENAYAH & MAHKAMAH

KEBAKARAN SALURAN GAS SEMAKIN BERKURANGAN, LEBIH 100 MANGSA DISELAMATKAN SETAKAT INI

01/04/2025 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kebakaran besar melibatkan saluran paip gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pagi tadi menyaksikan 112 mangsa diselamatkan termasuk 63 orang dihantar ke hospital.

Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata mangsa yang diselamatkan dan dilaporkan cedera terdiri daripada penduduk Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baharu.

Beliau berkata selain 63 mangsa yang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur dan masalah pernafasan serta luka, 49 lagi mangsa menerima rawatan awal di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya.

Kuil berkenaan serta tiga masjid merupakan empat rumah ibadat yang menjadi tempat perlindungan dan rawatan sementara kepada mangsa yang terjejas susulan insiden kebakaran itu.

Tiga masjid berkenaan ialah Masjid Putra Heights dan Masjid Nurul Iman yang diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) selain Masjid Al-Falah USJ 9 yang turut ditawarkan oleh pengurusan premis itu untuk dijadikan pusat perlindungan kepada mangsa.

Kesemua empat rumah ibadat itu terletak dalam radius tidak lebih 5 kilometer dari Jalan Putra Harmoni, lokasi kejadian yang dilaporkan berlaku kebakaran saluran gas sepanjang kira-kira 500 meter itu.

Dalam pada itu, Mohd Zaini dalam sidang media sama turut memaklumkan kejadian kebakaran yang dilaporkan berlaku pada 8.10 pagi itu juga telah mengakibatkan 49 kediaman di kawasan berhampiran terjejas. 

Sementara itu, orang awam turut berkongsi video dalam media sosial yang menunjukkan kebakaran merebak sehingga menjejaskan beberapa unit kediaman berhampiran yang menyebabkan berlaku kerosakan harta benda termasuk puluhan kereta dan motosikal.

Setakat 1 tengah hari tadi, sebanyak 78 anggota bomba dengan 22 aset, iaitu 10 jentera Fire Rescue Tender (FRT), empat unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS), lima unit Water Tanker dan masing-masing satu unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), unit BA Tanker dan unit ALP terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran di lokasi kejadian.

Ia melibatkan kekuatan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan, Klang Utara dan Damansara.

Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga mengerah kekuatan anggotanya dari Petaling dan Sepang bagi membantu melaksanakan tugas-tugas berkaitan. 

Setakat 1.55 tengah hari tadi, Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad memaklumkan kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights semakin berkurangan.

Beliau berkata pihaknya masih memantau di lokasi kejadian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan