AM

KEBAKARAN SALURAN GAS: LEBIH 50 RUMAH BERDEKATAN LOKASI KEJADIAN TERJEJAS TERUK

01/04/2025 05:36 PM

PUCHONG, 1 April (Bernama) -- Lebih 50 buah rumah di Kampung Tengah, Kampung Kenangan dan Kampung Sungai Baru di sini terjejas teruk akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang menggegarkan negara pagi ini.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Kampung Tengah dan Kampung Sungai Baru di sini yang berada kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian mendapati kebanyakan rumah banglo dan teres dua tingkat hampir musnah, dan keadaan dalam rumah tidak boleh diduduki sepenuhnya akibat rentung terbakar.

Tingkap pintu dan lantai rumah juga musnah terbakar dan ada rumah yang silingnya dibuat daripada aluminium turut hancur.

Sementara itu, beberapa kenderaan seperti bas sekolah, kereta dan motosikal juga rentung akibat bahang kebakaran. 

Kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pagi tadi menggemparkan penduduk sekitar dengan ada yang menyifatkannya bagaikan satu bencana gempa bumi yang dahsyat.

Setakat ini usaha menyelamat dan memadam kebakaran sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tengah Fiqrie Jusdean berkata pihaknya sedang mengenal pasti mangsa-mangsa yang masih berada di kawasan itu untuk dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) berdekatan bagi tujuan keselamatan. 

“Ada yang berpatah balik dari PPS untuk mengambil dokumen penting dan pakaian... Kami bersama-sama dengan pasukan bomba dan polis berusaha untuk memindahkan mereka ke kawasan selamat memandangkan masih ada asap dari tempat kejadian. 

“Alhamdulillah kebanyakan mangsa di ketiga-tiga kampung terjejas sudah dipindahkan ke tempat selamat, kami hanya membantu pihak penguat kuasa memindahkan mangsa,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian. 

Pembantu penyelidik universiti swasta Mohamad Shukri Suhaimi Bahshah, 33, ketika ditemui di tempat kejadian berkata keadaan dalam rumahnya masih elok meskipun motosikal dan kereta sudah hangus akibat kebakaran saluran paip gas kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan berkenaan.

“Kami menyedari kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi dan sempat lagi menyelamatkan diri keluar dari kawasan kampung ini untuk ke PPS iaitu di Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah. 

“Saya dimaklumkan oleh ketua kampung bahawa keadaan di sini sudah terkawal dan api telah reda, baru saya berani balik ke sini untuk mendapatkan baju-baju serta dokumen penting. Isteri dan anak-anak saya yang kini berada di PPS,” katanya. 

Sambutan hari raya kedua sebuah keluarga di Kampung Kuala Sungai Baharu, Batu 13 di sini musnah sekelip mata apabila rumah mereka hangus susulan kebakaran saluran paip gas itu. 

Meskipun bersyukur seluruh ahli keluarga selamat dalam insiden itu, mangsa terkilan kerana tiada barangan yang sempat diselamatkan.

Suri rumah Aliyah Ismail, 55, berkata semasa kejadian beliau serta anak perempuannya Nadia Muhammad Nasir, 36, sedang menyediakan juadah Aidilfitri di dapur untuk dibawa ke rumah besan di Shah Alam untuk beraya. 

“Tiba-tiba kami terdengar bunyi kuat seolah-olah letupan bom dan lantai kami bergegar... Kami ingatkan ada jet ataupun kapal terbang terjatuh kerana kawasan kami sudah biasa ada kapal terbang lalu kerana dekat dengan lapangan terbang. 

“Namun, kami perasan pula siling aluminium rumah kami mula cair dan rumah semakin membahang seolah-olah rumah terbakar, tiba-tiba suami menjerit memberitahu kereta dan motosikal sudah mula mencair. 

“Saya sempat membasahkan karpet di tandas dan membasahkan diri kerana keadaan ketika itu terlampau panas.... Anak-anak dan cucu-cucu kami menjerit menyuruh kami keluar meninggalkan rumah itu sebelum ia habis rentung... Mujur kami sekeluarga sempat keluar menyelamatkan diri namun anak lelaki sulung dan bongsu cedera ringan kerana melecur pada bahagian bahu dan tangan,” katanya. 

Peniaga air kelapa Husaini Sabil, 33, dari Kampung Tengah berkata semasa kejadian beliau dan isterinya, Molidah Yunus, 27, sedang tidur dan terjaga apabila menyedari keadaan rumah mereka yang panas dan jiran-jiran bising menyuruh mereka keluar menyelamatkan diri.

“Ketika itu sangat membahang dan kami terkejut apabila langit tiba-tiba bertukar menjadi warna oren dan gelap disebabkan asap.... Kami sempat melarikan diri namun tangan saya sedikit melecur kerana terkena motor yang sudah mencair akibat terlalu panas,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Zon 8 Khairol Basri M Arif berkata setakat ini kira-kira 30 keluarga dari Kampung Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru telah dipindahkan ke PPS di Masjid Putra Height. 

“Pada mulanya mereka ditempatkan sementara di Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah namun disebabkan tempat itu telah ditugaskan untuk pusat bantuan kecemasan dan perubatan kepada mangsa-mangsa terjejas, jadi pihak kami memindahkan mereka ke Masjid Putra Height. 

“Kami sedang memantau dari semasa ke semasa keadaan mangsa kebakaran, yang penting keselamatan mereka terjamin dan kami akan memastikan mereka mendapatkan bantuan kecemasan sekiranya perlu kerana ramai juga antara mangsa terlibat adalah dalam kalangan warga emas dan orang kurang upaya,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan