AM

FENOMENA BLEVE DIPERCAYAI PUNCA KEBAKARAN SALURAN PAIP GAS - BEKAS KP BOMBA

01/04/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500 meter di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor hari ini dipercayai berpunca daripada fenomena letupan wap cecair mengembang atau Boiling Liquid Expanding Vapor Explosion (BLEVE).

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata insiden itu berlaku apabila gas mudah terbakar bocor, menyebabkan wap gas terapung di udara sebelum berlaku pencucuhan yang mencetuskan letupan besar.

“Apabila wap gas yang mudah terbakar ini terapung di udara, ia hanya menunggu masa untuk dinyalakan atau menjadi punca kebakaran, menyebabkan satu letupan yang cukup kuat akibat kebocoran paip ataupun bekas yang mengandungi gas mudah terbakar.

“Bekas ini mungkin mengalami kerosakan atau pecah, mungkin terdapat kebocoran atau mungkin disebabkan oleh injap yang terbuka dan sebagainya,” katanya dalam program Bernama World terbitan Bernama TV di sini, hari ini.

Beliau berkata semua pemasangan paip gas di negara ini perlu mematuhi standard keselamatan antarabangsa dan undang-undang tempatan seperti Piawaian Penyimpanan, Pengendalian dan Pengangkutan Gas Petroleum Cecair (MS830) serta Piawaian Penyimpanan dan Pengendalian Cecair Mudah Terbakar (MS761).

Mohammad Hamdan berkata syarikat minyak dan gas juga perlu mematuhi piawaian antarabangsa seperti The Compressed Gases and Cryogenic Fluids Code (NFPA 55) yang menetapkan jarak keselamatan bagi mengurangkan risiko letupan dan kebakaran sekiranya berlaku kebocoran.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk berdekatan supaya segera berpindah ke kawasan selamat, mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk JBPM serta menjauhi kawasan terjejas.

“Kebakaran ini boleh menyebabkan haba radiasi yang merosakkan harta benda berdekatan dan menjadi punca kepada apa yang dikenali sebagai peningkatan kebakaran. Kebakaran juga boleh merebak ke aset-aset berhampiran apabila mencapai suhu tertentu,” katanya.

Sementara itu, pakar dan aktivis keselamatan minyak dan gas, Kapten MS Affendy Abdul Rani berkata kebakaran saluran paip berbeza daripada kebakaran biasa kerana melibatkan bahan mudah terbakar yang berada dalam keadaan tekanan tinggi dan boleh terus membakar selagi bekalan gas tidak ditutup.

Katanya api daripada kebakaran gas itu lebih panas dan sukar dipadamkan menggunakan air sahaja kerana gas yang bocor boleh terus menyala.

“Jadi, menutup bekalan gas adalah langkah yang kritikal kerana ia menghentikan sumber bahan api sekali gus mengawal kebakaran daripada terus merebak. Jika saluran gas tidak ditutup, api akan terus aktif,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye menekankan tiga keutamaan selepas kejadian kebocoran itu, iaitu penyediaan maklumat terkini mengenai kualiti udara dan potensi risiko kesihatan.

Selain itu, katanya pemindahan penduduk harus dilaksanakan secara menyeluruh terutamanya bagi golongan rentan dan akhirnya siasatan yang telus dan komprehensif untuk mengenal pasti punca kebocoran dan mencegah kejadian serupa.

Setakat 3.40 petang ini, sebanyak 190 unit rumah, 148 kereta, serta 11 motosikal dilaporkan rosak dalam kejadian kebakaran itu.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan