AM

49 MANGSA DITEMPATKAN DI PPS PUTRA HEIGHTS - KPWKM

01/04/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) --  Seramai 49 mangsa daripada 17 keluarga yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, pagi tadi telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights setakat 1 tengah hari.

"Mangsa yang ditempatkan di PPS diberikan kemudahan makanan, set kebersihan diri, kelengkapan untuk tidur, air minuman serta kudapan bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang tempoh pemindahan," menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini.

Menurut kementerian itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor turut bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa terpelihara.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mendekati kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Mangsa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih KPWKM yang beroperasi 24 jam melalui talian bebas tol 15999, aplikasi WhatsApp di 019-26 15999 atau aplikasi mudah alih Talian Kasih.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan