SUBANG JAYA, 1 April (Bernama) -- Laporan awal insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini dijangka siap dalam tempoh 72 jam, demikian menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti punca berlakunya insiden tersebut bermula sekitar pukul 8 pagi tadi.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu, sebaliknya menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu pihak berkuasa.
“Kita akan melakukan siasatan menyeluruh untuk mengetahui punca berlakunya insiden ini. Ada pelbagai maklumat yang disebarkan di media sosial yang perlukan pengesahan.
“Kalau ada apa-apa (maklumat), tolong sampaikan kepada pihak berkuasa untuk kita lakukan siasatan menyeluruh terhadap isu ini. Harap polis akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk kita mendapat petunjuk punca berlakunya insiden ini,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran tersebut di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk yang terjejas supaya tidak pulang ke kediaman mereka sehingga keadaan diisytihar selamat oleh pihak berkuasa.
“Kawasan yang akan kita tutup buat sementara ini adalah seluas 28 hektar iaitu lebih kurang 290 meter persegi secara radius, meliputi dua lokaliti iaitu Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
“Pada masa ini, pihak bomba menasihatkan penduduk supaya tidak pulang ke rumah dahulu kerana kita takut mungkin berlaku insiden kedua. Saya mohon selama 48 jam ini, kita cuba elakkan untuk pulang ke rumah,” katanya.
-- BERNAMA