AM

KEBAKARAN SALURAN GAS: DENTUMAN KUAT DISANGKA KAPAL TERBANG TERHEMPAS - MANGSA

01/04/2025 08:43 PM

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- “Mula-mula saya ingat bunyi mercun, tidak lama selepas itu dentuman kuat pula kedengaran seperti kapal terbang terhempas,” kata seorang mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya. 

Seorang peniaga kecil-kecilan yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad Daniel, 25, berkata beliau dan isteri Ellyna Nadiawati, 41, sempat menyelamatkan diri tetapi tidak dapat membawa bersama barangan peribadi termasuk dokumen penting.

Bercerita lebih lanjut kepada Bernama, Ahmad berkata pada awalnya dia menyangkakan bunyi letupan mercun sempena sambutan Aidilfitri namun tidak lama selepas itu dia mula merasakan gegaran kuat dari dalam rumah.

“Saya selak tingkap, tengok keliling dah ada api dan menghubungi ayah di kampung beritahu rumah dah terbakar. 

"Saya juga segera kejutkan isteri dan adik sebelum kami dengan pantas keluar dari rumah yang mula dijilat api," katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya selepas menerima rawatan bagi kecederaannya.

Ahmad melecur pada bahagian tangan dan badan selepas terkena tombol pintu yang panas serta besi motosikalnya yang hampir cair.

“Saya nak buka pintu, baru pegang tombol dah rasa panas. Masa cuba selamatkan motor saya terpegang besi panas, kulit terus melekat, hendak tarik pun sakit,” katanya sambil menunjukkan kesan luka di tangannya.

Ahmad dan keluarga yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights berharap siasatan terperinci dapat dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Kami berharap ada pihak bertanggungjawab sebab ramai yang terjejas,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan