JENAYAH & MAHKAMAH

SMART KELUARKAN EMPAT MAYAT MANGSA GEMPA BUMI DI MYANMAR

01/04/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berjaya mengeluarkan empat mayat dari bawah runtuhan yang berlaku akibat gempa bumi di daerah Sagaing, Myanmar.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dikeluarkan semalam, manakala sehingga 12 tengah hari tadi waktu tempatan, dua lagi mangsa wanita dikeluarkan.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat dilaksanakan secara bersama dengan pasukan penyelamat tempatan dan cuaca panas memberi kesan kepada pasukan, namun tanggungjawab untuk menyelamat mangsa bencana tetap menjadi keutamaan,” menurut NADMA.

Hari ini adalah hari ketiga Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) diaturgerakkan bagi menjalankan misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Myanmar, dan satu-satunya pasukan SAR luar negara yang beroperasi di Sagaing buat masa ini.

NADMA memaklumkan berdasarkan laporan impak yang disahkan Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar (DDM), jumlah mangsa meninggal dunia ialah 1,659 orang, cedera (3,535) dan hilang (284).

Faktor keselamatan 50 anggota SMART yang sedang bertugas di daerah Sagaing sentiasa menjadi keutamaan kerana sebelum ini terdapat laporan kawasan bergolak yang masih dibom oleh tentera Myanmar dan risiko periuk api terutama di kuil-kuil.

“Isu keselamatan di lapangan buat masa ini adalah minimum dan keselamatan MAS-01 sentiasa dipantau Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Tempatan (LEMA) dan pasukan polis Myanmar,” menurut NADMA.

Selain itu, cabaran dan isu yang perlu dihadapi pasukan berkenaan ialah masih berlaku gegaran susulan yang mungkin berbahaya kepada MAS-01 yang sedang melaksanakan operasi bawah runtuhan. 

“Isu logistik yang utama seperti bekalan minuman dan petrol perlu sentiasa ada bagi memastikan kelangsungan operasi.

“Isu kebersihan perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi selepas pengurusan mayat. Dekontaminasi anggota perlu dilaksanakan setiap kali tamat operasi dan bekalan air untuk mencuci pakaian adalah mencukupi,” menurut NADMA.

Jumaat lepas, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas, selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.

Ahad lepas, dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa SMART selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyidaw dan pasukan itu kemudian bergerak sejauh 270 kilometer melalui jalan darat ke daerah Sagaing untuk memulakan SAR.

– BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan