AM

KKM AKTIF 8 PASUKAN PERUBATAN DI LOKASI KEBAKARAN -- KKM

01/04/2025 09:55 PM

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Pusat Koordinasi Kecemasan Perubatan (MECC) telah mengaktifkan lapan pasukan perubatan daripada pelbagai hospital di Lembah Klang untuk memberikan respons di lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan dua daripada pasukan itu diketuai oleh Pakar Perubatan Kecemasan yang terdiri daripada lima kakitangan dari Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Empat pasukan lagi diketuai oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya, Hospital Kajang, Hospital Shah Alam, Hospital Banting dan Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang.

KKM memaklumkan pasukan berkenaan ditempatkan di tiga lokasi pusat pengumpulan mangsa bersama-sama dengan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Setakat 6 petang, seramai 100 mangsa telah menerima rawatan di hospital-hospital sekitar Lembah Klang iaitu 12 orang di Zon Merah, 50 orang di Zon Kuning dan 38 di Zon Hijau.

"Pecahan mangsa yang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) ialah Hospital Putrajaya (14 orang), Hospital Serdang (28), Hospital Cyberjaya (25), Hospital Ampang (1) dan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) Kajang (2 orang)," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Subang Jaya Medical Centre menerima 22 kes, Hospital Thomson (1), Avisena Specialist Hospital (5) dan dua kes di Columbia Asia Hospital Bukit Rimau.

"Setakat ini, keadaan terkawal di tempat kejadian dan hospital-hospital kerajaan di Lembah Klang masih mampu untuk menerima kes ini buat masa ini, sama ada yang datang dengan ambulans atau secara sendiri ke ETD," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan