KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kira-kira 300 tetamu jemputan daripada pelbagai latar belakang di Windhoek menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang dihoskan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia pada Khamis.
Tetamu yang hadir termasuk anggota kor diplomatik, wakil pertubuhan Islam dan Kristian di Windhoek, pemimpin perniagaan, ahli akademik dari International University of Management dan Limkokwing University Namibia, serta ahli Persatuan Persahabatan Namibia Malaysia serta komuniti Malaysia di Namibia.
Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dalam ucapannya berkata acara itu menjadi platform untuk mempromosikan Malaysia kepada rakyat Namibia, sambil mempamerkan inti pati konsep Malaysia MADANI melalui warisan kulinari dan budaya negara yang kaya.
Beliau menambah bahawa di Malaysia yang majoritinya beragama Islam, sambutan perayaan seumpama itu menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama dalam semangat keharmonian dan kebersamaan.
-- BERNAMA