JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LELAKI DISYAKI BAWA LARI REMAJA OKU

07/04/2025 01:42 PM

MELAKA, 7 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki melarikan gadis orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran yang dilaporkan hilang di Taman Rambai Idaman di sini dua hari lepas, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata peniaga berumur 40 tahun yang memandu kereta Perodua Kelisa itu ditahan kira-kira 4 pagi tadi di tepi Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah.

Beliau berkata suspek yang tinggal di sini mengaku membawa gadis berumur 17 tahun itu untuk bersiar-siar di Seremban, Ipoh, Bukit Mertajam dan Baling. 

Dalam kenyataan di sini beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dan soal siasat juga mendapati gadis itu tidak mengenali suspek.

Christopher berkata kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah.

Beberapa media semalam melaporkan seorang remaja OKU dilaporkan hilang pada 5 April selepas keluar bermain di taman permainan berhampiran rumahnya dan dipercayai dibawa lari dengan menaiki Perodua Kelisa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan