Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini, seiring penurunan mata wang Asia yang lain susulan kebimbangan berterusan mengenai peningkatan ketegangan perdagangan.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4775/4840 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.4335/4400 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan 34 peratus tindak balas timbal balik China terhadap AS.
"Ringgit menjadi lebih lemah hari ini, diseret lebih rendah bersama-sama mata wang Asia yang lain kerana serangan tarif Presiden AS Donald Trump kini merubah sepenuhnya iaitu menjadi perang dagang utama selepas tindak balas tarif timbal balik sebanyak 34 peratus oleh China," katanya kepada Bernama.
Pada 2 April 2025, Trump mengumumkan tarif tambahan sebanyak 34 peratus ke atas semua barangan China yang diimport ke AS dan Beijing pula membalas dengan tarif 34 peratus ke atas barangan AS tidak lama selepas itu.
Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata disebabkan tarif AS, keseluruhan pasaran ekuiti global mencatatkan penurunan yang menunjukkan pelabur cenderung mengelak risiko, namun kini beralih tumpuan kepada instrumen yang lebih selamat seperti bon serta pasaran wang.
Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.
Mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.0655/0704 daripada 3.0294/0340 dan turun berbanding euro kepada 4.9100/9172 daripada 4.8706/8778, namun ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7491/7575 daripada 5.7561 semalam.
Bagaimanapun, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ia menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9128/9408 daripada 12.9589/9847 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 266.1/266.6 daripada 266.2/266.7 ketika ditutup semalam.
Ringgit lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.79/7.81 daripada 7.80/7.782 tetapi rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3228/3281 daripada 3.3153/3204 sebelumnya.
-- BERNAMA