KOTA BHARU, 8 April (Bernama) -- Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki 3,399 liter minyak diesel tanpa kebenaran yang sah di sebuah premis di Kampung Gong Kala, Sungai Petai, Pasir Puteh pada Februari lepas.
Mohd Salman Hassan, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan terhadapnya .
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 5 pagi 2 Feb 2024 di Jalan Kampung Gong Kala, Sungai Petai, dalam daerah Pasir Puteh dengan minyak diesel yang merupakan barang kawalan itu ditemukan disimpan dalam sebuah lori tangki dalam keadaan menimbulkan syak munasabah bahawa ia tujuan untuk dijual tanpa lesen yang sah.
Mohd Salman didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, mahkamah juga boleh melucuthakkan barangan yang terlibat dalam kes ini mengikut Seksyen 26 akta yang sama.
Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhammad Iman Masjuri dan OKS diwakili peguam Muhammad Nazri Awang.
Terdahulu, Muhammad Iman memohon jaminan RM20,000 ditawarkan kepada lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu.
Hakim Zulkifli Abllah kemudiannya menawarkan RM12,000 pada Mohd Salman dan perlu melapor diri di ke pejabat KPDN setiap bulan dan menetapkan 13 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.
-- BERNAMA