AM

PROJEK TEMBOK PENAHAN DI TAMAN BELLE HILL DIJANGKA SIAP AKHIR APRIL – TIONG 

08/04/2025 10:11 PM

BINTULU, 8 April (Bernama) -- Projek tembok penahan yang bertujuan menangani isu tanah runtuh di Taman Belle Hill di sini dijangka siap menjelang akhir bulan ini, kata Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

Mengulas kebimbangan orang ramai susulan satu lagi kejadian tanah runtuh di kawasan itu, beliau berkata Pegawai Khasnya, Steven Kong Kai Seng bersama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datuk Muhamad Yakup Kari serta wakil pemaju projek perumahan berdekatan, telah melawat kawasan tanah runtuh tersebut untuk membuat penilaian dan berjumpa dengan penduduk yang terjejas.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata dianggarkan tinggal 40 meter lagi tembok penahan yang belum siap manakala bahagian yang telah siap setakat ini berkesan dalam mencegah tanah runtuh daripada berulang.  

“Berdasarkan pemerhatian di tapak dan maklum balas daripada penduduk, tiada lagi tanda-tanda hakisan tanah atau tanah runtuh di kawasan tembok penahan yang telah siap,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Beliau berkata kejadian tanah runtuh terbaharu berlaku di kawasan yang pembinaan tembok penahan masih belum disiapkan dan tambahnya, Muhamad Yakup telah mengarahkan semua pihak terlibat agar mempercepatkan pembinaan bagi mengelakkan risiko keselamatan terhadap penduduk.

Beliau menegaskan isu tanah runtuh tersebut telah berlarutan sejak lebih setahun dan kini perlu diselesaikan dengan segera. 

“Kelewatan sudah tidak boleh diterima. Jika ia tidak diselesaikan, penduduk akan terus tinggal dalam kebimbangan terutama ketika hujan lebat,” katanya. 

Selepas siapnya tembok penahan itu nanti, Tiong berkata kerja-kerja pemulihan akan dimulakan secara berperingkat yang dijangka selesai menjelang akhir Mei dan akan diikuti tempoh pemantauan 12 bulan bagi memastikan kestabilan dan keselamatan, dalam tempoh itu penanaman rumput akan dilakukan bagi mengukuhkan tanah.

Selain itu, beliau berkata pemaju bagi projek perumahan baharu berdekatan berjanji untuk membaiki rumah yang rosak akibat tanah runtuh selepas kerja-kerja pembinaan selesai. 

“Kami akan terus memantau keadaan di situ bagi memastikan pihak terlibat memenuhi tanggungjawab mereka. Matlamat kami ialah untuk memulihkan persekitaran yang selamat dan stabil bagi penduduk di Taman Belle Hill secepat mungkin,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan