KULAI, 9 April (Bernama) -- Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam dua kejadian samun bersenjatakan parang dalam tempoh kurang dua jam selepas insiden itu dilaporkan, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pada hari berkenaan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang wanita warga Indonesia disamun di kawasan belakang bangunan sebuah restoran di Jalan Seri Putra di sini kira-kira 8.26 pagi.
Beliau berkata wanita berumur 52 tahun yang mengalami kecederaan pada bahagian lengan kiri akibat ditetak dengan senjata disyaki parang itu telah dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk menerima rawatan dan keadaannya stabil.
"Pada hari sama, kita turut menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 36 tahun mengenai kejadian samun bersenjatakan parang di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai kira-kira 8.45 pagi.
"Susulan maklumat dan tindakan segera, anggota 'Task Force' dari Balai Polis Mutiara Rini berjaya menahan seorang lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Jalan Skudai-Gelang Patah, kira-kira 10.05 pagi, " katanya dalam kenyataan.
Tan berkata hasil pemeriksaan ke atas lelaki berumur 40 tahun itu polis menemukan sejumlah barangan mencurigakan dalam beg galas yang dibawa dan siasatan mendapati suspek terlibat dalam dua kejadian samun yang dilaporkan pada 4 April di Kulai.
"Antara barangan yang dirampas ialah sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, beberapa beg tangan, beg galas, dompet, sejumlah telefon bimbit, kad pengenalan dan MyKid, satu pasport warga Indonesia, sebentuk cincin serta seutas gelang, sejumlah wang tunai serta kotak peralatan bertukang yang mengandungi pemotong besi, pemutar skru, gunting dan gergaji besi.
"Semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan ujian saringan awal menunjukkan dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman hingga 11 April bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA