JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN WANITA DISYAKI DERA ANAK

09/04/2025 03:37 PM

KANGAR, 9 April (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita berhampiran Jejambat Titi Kerbau, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis dekat sini semalam kerana disyaki mendera anak perempuannya berusia 11 tahun.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata wanita berusia 33 tahun itu ditahan pada 1.30 tengah hari ketika sedang berhari raya dan tangkapan itu dilakukan selepas laporan polis dibuat guru besar sekolah kanak-kanak itu di Jitra, pada Isnin lepas.

"Kanak-kanak perempuan ini dipercayai didera ibu kandungnya yang merupakan mualaf. Guru besar mengetahui kejadian ini kerana mangsa lewat hadir ke sekolah.

"Hasil laporan pemeriksaan doktor dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar mendapati terdapat kesan luka di bahagian belakang badan, leher, kaki dan tangan mangsa akibat digigit serta dicucuk dipercayai menggunakan gunting ikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata kanak-kanak itu ditahan di wad bagi rawatan susulan manakala wanita yang tinggal di sebuah taman perumahan di Kangar, direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.        

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan