JENAYAH & MAHKAMAH

NILAI RAMPASAN DADAH DI KELANTAN TURUN HAMPIR 60 PERATUS SEJAK PENUTUPAN PANGKALAN HARAM

09/04/2025 04:34 PM

KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Nilai rampasan dadah di Kelantan menurun hampir 60 peratus sejak pihak berkuasa mengambil tindakan menutup pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand berkuat kuasa 1 Dis lepas, kata Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menunjukkan rampasan dadah dalam tiga bulan pertama tahun ini bernilai RM2.23 juta berbanding RM5.82 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

“Walaupun bilangan tangkapan penagih meningkat, namun jumlah dadah masuk ke negeri ini berkurangan dengan ketara. Ia (penutupan pangkalan haram) berjaya mengekang pengedaran dadah dengan berkesan.

“Alhamdulillah, ini petanda positif hasil kawalan sempadan lebih ketat serta penguatkuasaan berterusan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata tindakan itu turut disokong dengan pelaksanaan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959/63 yang membolehkan pemantauan lebih berfokus di kawasan berisiko.

Bagaimanapun beliau berkata polis mengesan modus operandi baharu sindiket untuk menyeludup masuk dadah, iaitu menggunakan laluan laut seperti di Kuala Besar dan Kuala Tapai.

Sehubungan itu bliau berkata polis memperketat pengawasan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menyekat cubaan pengedaran dadah melalui jalan laut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan