EKONOMI

UNIT HIBISCUS PETROLEUM RAIH LANJUTAN 20 TAHUN KONTRAK PM3 CAA

09/04/2025 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung Hibiscus Petroleum Bhd, Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd. dan Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd. (HML PM3) memeterai perjanjian prinsip utama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Vietnam Oil and Gas Group (PetroVietnam).

Perjanjian tersebut membolehkan tempoh lanjutan kerjasama dalam pengeluaran dan penjualan minyak serta gas di kawasan tertentu termasuk perkongsian pengeluaran dan penjualan gas (Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kawasan Pengaturan Komersial PM3 (PM3 CAA PSC) dan Perjanjian Penjualan Gas Huluan (UGSA)).

Hibiscus dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kontrak berkenaan berlangsung selama 20 tahun bermula 1 Jan, 2028 sehingga 31 Dis, 2047, di bawah terma PSC dan UGSA yang dipertingkatkan.

Ia berkata HML akan berterusan sebagai pengendali PM3 CAA PSC sepanjang tempoh lanjutan dengan kepentingan ekuiti yang sama iaitu 35 peratus dipegang bersama dengan HML PM3.

Sementara itu, PetroVietnam Exploration Production Corp Ltd. (PVEP) akan memegang 30 peratus ekuiti manakala 35 peratus lagi akan dipegang oleh Petronas Carigali Sdn Bhd.

“Tempoh lanjutan kontrak itu akan mengekalkan pengeluaran daripada medan sedia ada dan membolehkan pembangunan medan yang ditemui serta penerokaan lanjut dalam Kawasan Perjanjian Komersial Luar Pesisir Malaysia-Vietnam.

"Ini membolehkan syarikat untuk mengekstrak nilai potensi maksimum daripada aset tersebut dan menambah rizab serta sumber tambahan ke dalam portfolio asetnya," menurut Hibiscus.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan